Airmata... jangan tumpah lagi kerana aku tidak berdaya lagi menagih cinta.
Ku jejak kasih semalam, mengharung rindu yang telah tertahan. Rintangan dan dugaan mendatang ku harungi demi cinta dan kasih yang tidak berpenghujung. Takdir yang datang kuiringi dengan doa, penuh keinsafan. Kesabaran ini kupertahan demi kasih seorang anak. Lalu aku kembali ke dunia realiti mencari kekuatan yang hilang. Namun langkahku kaku kerana ku tahu kau masih ada di situ.
Jalan ceritanya biasa saja... kisah yang biasa berlaku dalam masyarakat hari ini dan kalau tak silap, suatu ketika dulu aku pernah menonton sebuah drama yang mirip kepada jalan cerita novel ini tapi aku tak ingat tajuknya dan bila aku menontonnya. Kisah seorang ibu tunggal (Sapura) yang membesarkan anak seorang diri, anak (Nabila), yang tiba-tiba saja mendapat tahu akan kewujudan bapanya (Badrul Hakimi), ibu tiri (Nurul) dan abang kandung (Amirul Affendi). Malah terus berasa takut untuk meneruskan hubungan dengan kekasih (Amir Hamzah) ekoran dari peristiwa silam bapa yang baru dikenalinya. Kesudahannya, ada yang gembira dan ada yang terluka dengan keputusan yang telah Nabila buat....
Kali ini aku ada komen sikit pasal novel ini. Aku rasa editor perlu lebih peka kepada penggunaan Bahasa Inggeris di dalam kata nama ganti diri yang tidak konsisten di dalam dialog antara watak-watak dalam novel ini. Contohnya, dialong antara Nabila dan Fendi - ada ketika guna 'saya' dan 'awak' dan ada ketikanya guna 'i' dan 'you'... begitu juga dengan dialog antara Nabila dan Amir. Aku sebenarnya tak berapa pandai dalam bahasa penulisan ini... tapi macam konfius sedikit bila membacanya. Penggunaan kata nama ganti diri kadang-kadang menjadi satu 'trademark' kepada sesuatu watak dalam sesebuah novel itu. Jadi aku rasa ianya penting juga dalam sesuatu cerita itu. Harap tidak ada yang tersinggung dengan komen aku ini kerana ini hanya pada pandangan peribadiku saja.
Terdetik di hatiku:
Mungkin sudah menjadi lumrah alam... Mungkin kerana itulah aku terlalu mengikutkan sangat perasaan kecewa bila membaca karya-karya novelis baru di pasaran, kerana itulah juga agaknya aku ini agak memilih dan selalunya aku lebih mendahulukan membeli/membaca karya-karya novelis favourite yang sudah ada nama... contohnya seperti Khadijah Hashim, Abdul Rahim Awang, Fauziah Ashari, Fatinilam Sari, Abdul Talib Hassan, NB, Noor Suraya, Sharifah Abu Salem, Anis Ayuni, Norzailina, Samsiah Mohd Nor, RAM, Aisya Sofea, Aina Emir, Elias Hj Idris, Lily Haslina, Siti Hazneza dan lain-lain lagi yang tak dapat aku senaraikan di sini. Aku rasa pembaca di luar sana pun mungkin punya perasaan yang sama sepertiku.
10:19 PG
MIMI NORSYAHUDDA


0 ulasan:
Catat Ulasan